Bersalin Melalui Pembedahan Czer
October 12, 202310 Makanan yang Dilarang untuk Ibu Hamil Trimester Pertama
June 6, 2024Bagi wanita yang bebas daripada sebarang masalah sepanjang kehamilan, keinginan anda untuk bersalin normal atau pembedahan mungkin boleh ditunaikan. Walaubagaimanapun, kedua-dua jenis cara bersalin sama ada bersalin normal atau pembedahan caesarean mempunyai risiko yang tersendiri. Tambahan pula, memang sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku menjelang hari bersalin. Mungkin ada ibu yang pecah ketuban terlalu awal, tidak mampu meneneran, bayi dalam posisi yang songsang, kelahiran pra-matang, atau kesihatan yang tidak mengizinkan. Atas sebab itu, para ibu perlu bersedia dan terbuka untuk menerima sebarang perubahan yang mungkin berlaku pada saat-saat akhir.
SAKIT BERSALIN NORMAL
Apabila serviks sudah terbuka sebanyak 10 cm dan kepala bayi sudah mula kelihatan, proses kelahiran akan bermula. Proses bersalin normal memerlukan kudrat dan tenaga anda sendiri untuk meneran bayi keluar dengan selamat. Terdapat juga saranan daripada doktor untuk berpuasa sebelum bersalin bagi mengelakkan para ibu untuk tidak membuang air kecil dan besar.
Sewaktu kontraksi ini, mungkin akan ada yang rasa sakit di perut, belakang, pinggang, atau mana-mana tempat lain. Mungkin juga berasa lenguh satu badan. Kontraksi ini pula akan semakin kuat apabila menghampiri waktu melahirkan. Ia juga bergantung kepada individu tersebut kerana setiap individu melalui kontraksi yang berlainan. Tetapi, selepas sahaja bayi lahir, sakit bersalin akan reda walaupun amat letih.
KAEDAH YANG SERING DIGUNAKAN BILA BESALIN NORMAL
EPISIOTOMI (MENJAGA LUKA JAHITAN)
Episiotomi dilakukan untuk mengelakkan koyakan yang tidak seragam pada faraj akibat cara meneran yang salah. Ia juga dapat membantu kelahiran bayi yang bersaiz besar. Kaedah ini antara yang paling selalu digunakan untuk membantu kelahiran normal berlaku dengan lebih cepat. Biasanya, kelahiran anak pertama memakan masa yang lama dan doktor akan menjalankan episiotomi bagi membuka laluan yang lebih luas pada bahagian perinuem.
Ringkasnya, ia adalah insisi (potongan) yang akan dibuat apabila perineum (bibir rahim) meregang terlalu perlahan. Bahagian yang akan dipotong biasanya akan dibius terlebih dahulu, kecuali jika ibu sudah diberikan epidural.
KAEDAH INDUKSI
Kaedah induksi akan digunakan untuk mengalami masalah pre-eklampsia, kembar, ketuban pecah terlalu awal, saiz bayi terlalu besar, atau proses kelahiran yang terlalu perlahan. Doktor mungkin akan memberi ubat atau membuat beberapa teknik untuk merangsang bagi berlakunya pengecutan rahim (kontraksi) secara semulajadi. Teknik memecahkan selaput ketuban adalah teknik yang paling biasa.
KAEDAH FORSEP & VAKUM
Forsep adalah sejenis alat penyepit yang hujungnya berbentuk sudu bagi memegang kepala bayi. Vakum pula merupakan alat berbentuk kon yang diletakkan atas kepala bayi bagi menyedutnya keluar. Kedua-dua alat ini akan digunakan oleh doktor untuk mengelakkan bayi daripada lemas akibat terlalu lambat dikeluarkan.
Kebaikan bersalin normal
- Bayi dan badan anda akan mula sedia berkembang secara semulajadi setelah bersalin normal.
- Apabila pembukaan faraj berlaku, semua cecair amniotik dalam paru-paru bayi akan dikeluarkan secara semulajadi.
- Semasa bersalin normal, bayi akan menelan bakteria pelindung yang menjelajah dalam ususnya dan sekaligus meningkatkan sistem imun tubuh si kecil itu.
- Tempoh tinggal di hospital dalam masa yang singkat.
- Tidak melibatkan parut yang berpanjangan dan masa pemulihan yang lebih cepat.
- peluang komplikasi yang rumit lebih rendah.
- Mempunyai risiko kematian yang lebih rendah untuk ibu dan bayi.
Kelemahan bersalin normal
- Dalam bersalin normal, keseluruhan proses bergantung kepada persediaan tubuh ibu. Maka, tiada jadual kelahiran yang spesifik untuk bersalin normal dan bergantung 100% pada pembukaan pintu serviks.
- Semasa dekat dengan kelahiran, anda mungkin mengalami kecemasan dan tekanan.
- Dalam sesetengah kes, kelahiran normal boleh meningkatkan risiko ketidakupayaan.
- Bersalin normal mungkin boleh menyebabkan masalah seksual selepas melahirkan.
- Risiko trauma kelahiran lebih meningkat terutama apabila terpaksa memerlukan bantuan forsep atau vaccum.